BANK Negara Malaysia (BNM) merumuskan pelaburan pertukaran mata wang asing (Forex) dan pelaburan emas secara haram ialah pilihan bagi rakyat negara ini memperoleh wang secara mudah.
 

 


BNM menyenaraikan kira-kira 271 syarikat yang dianggap 'tidak dibenarkan dan tidak diluluskan' di bawah undang-undang dan peraturan bank pusat itu.
Menerusi ruangan ‘peringatan kepada pengguna’ di laman web rasmi BNM, dinyatakan senarai dan laman web syarikat-syarikat terbabit berdasarkan aduan yang diterima.

Senarai yang dikemaskini sehingga 7 Jun 2016  boleh diakses di http://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_financialconsumeralert&lang=bm sebagai panduan kepada masyarakat untuk membuat pertimbangan sebelum membuat pelaburan dalam skim cepat kaya.

“Orang ramai dinasihati tidak membuat sebarang deposit atau pelaburan dengan individu atau entiti yang tidak dikawal selia di bawah undang-undang berkaitan.

“Mereka juga perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya meragui sebarang skim yang ditawarkan,” demikian menurut BNM.
Selain itu bank pusat turut memberi amaran terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko  rendah.

“Jalankan urusan hanya dengan institusi kewangan berlesen dan peniaga yang dibenarkan.

“Jangan gopoh atau membiarkan diri anda menerima tekanan untuk melabur. Perlu lebih berhati-hati dengan pelaburan melalui Internet,” kata BNM.
Tambah BNM lagi, orang ramai perlu meragui dengan peluang pelaburan yang tidak dibuat secara bertulis.

Bank pusat itu berkata, jika pelaburan sudah dibuat, individu itu perlu menyimpan semua salinan pelaburan dan komunikasi yang dibuat.
Katanya, pengguna perlu berhati-hati apabila berurusan dengan entiti yang tidak dikawal selia atau individu tertentu.

“Perlindungan pengguna di bawah undang-undang yang ditadbir oleh Bank Negara tidak terpakai jika orang ramai memilih untuk berurusan dengan penyedia perkhidmatan kewangan haram.

“Mereka yang mengambil bahagian dalam aktiviti kewangan haram juga boleh didakwa kerana bersubahat,” katanya.

SUMBER : SINAR HARIAN