BALING - Polis menahan seorang suspek wanita bagi membantu siasatan berhubung kemalangan maut yang membabitkan Ketua Bahagian Jenayah Narkotik Baling dan isterinya awal hari ini.
Ketua Polis Baling, Superintendan Sharifudin Yusof berkata wanita tempatan berusia 37 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Hilux itu ditahan pagi tadi di lokasi kejadian.
"Setakat ini polis masih menyiasat dan kita tahan suspek ini yang melanggar kereta mangsa dari belakang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian 7.15 pagi tadi, Asisten Komisioner Mohd Noor Mat Ayub, 38, dan isteri Suriya Abdul Rahman, 37, maut dalam kemalangan di Kampung Teluk Teduri dekat sini setelah kereta jenis Toyota Passo dinaiki mereka dilanggar dari belakang ketika hendak membelok ke simpang kanan.
Kejadian mengakibatkan kereta mangsa memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kenderaan yang dipandu Muhamaad Ilyas Abd Razak, 32, dan mengakibatkan empat anak mangsa cedera.
Kejadian mengakibatkan kereta mangsa memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kenderaan yang dipandu Muhamaad Ilyas Abd Razak, 32, dan mengakibatkan empat anak mangsa cedera.
Empat anak mereka yang kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani dikenali sebagai Irdina Aliah, 11, Insyirah Aliah, 10, Muhammad Adib Mustakim, 8, dan Imanina Aliah, 6.
Sharifudin turut menyifatkan Allahyarham yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling selama lima tahun merupakan seorang pegawai yang amat bertanggungjawab dan berdedikasi dalam menjalankan tugas.
"Banyak sumbangan beliau terutama sekali dalam membanteras masalah dadah di daerah ini yang kita tidak boleh lupakan," katanya.
Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah Supt Helmi Aris pula berkata Allahyarham seorang yang rajin menjalankan operasi membanteras dadah di daerah ini selain turut prihatin dengan kebajikan anak buahnya.
"Allahyarham juga mesra dengan penduduk kampung dalam usahanya mendekati komuniti dan sangat hormat pada ketua," katanya.
Kedua-dua jenazah dibawa ke surau IPD Baling untuk disembahyangkan sebelum dibawa menggunakan kenderaan jenazah Polis Diraja Malaysia ke Tanah Perkuburan Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan untuk dikebumikan. - Bernama
sumber : berita harian
No comments:
Post a Comment